Guru didakwa di Mahkamah: “Sayalah Guru Itu”
November 18, 2013

Saya tidak mungkin melupakan segala-galanya sehingga roh berpisah dari jasad saya. 21 Mei 2006, lebih kurang jam 2.05 petang. Sungguh Malaikat Izrail memasuki dalam kereta dan mencabut dua nyawa yang berada disisi saya. Cumanya ketika itu bukan giliran. Saya kira semua orang tidak menginginkannya termasuk saya. Kemalangan yang menjadi kejutan kepada golongan guru seluruh Negara. Dua tiga akhbar utama menyiarkan berita itu. Pada ketika itu perjalanan kami dari Johor Bharu ke Segamat usai latihan/pemilihan sepak takraw negeri Johor dan saya akan membawa skuad Johor ke peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Perak seingat saya.
Fasa pertama latihan dan kami akan pulang dua malam ke rumah sebelum datang semula ke Johor Bahru untuk latihan selanjutnya. Namun segala-galanya ternoktah di atas lebuhraya utara selatan KM 50.2. Bermulalah satu perjalanan yang mencabar tetapi cukup mendewasakan. Menjadikan saya lebih berani dari semalam termasuk bercakap secara direct dengan ‘orang-orang besar’ dalam hireki pentadbiran pelajaran negeri Johor.
Kata Nisah Harun dalam novel ‘Mencari Locus Standi’ tentang mahkamah; tiada yang menggembirakan di daerah ini. Tiada siapa yang mahu datang ke tempat ini andai tidak dipaksa atau terpaksa. Mahkamah jadi tempat yang perlu disiahkan, seolah-olah sekali melangkah ke sini akan sial sepanjang hayat!” Ayat ini membekas dalam diri saya. Segalanya menjadikan saya mesra dengan bahan bacaan berkaitan undang-undang, pekeliling-pekeliling perkhidmatan awam berkaitan tahan kerja, tatatertib dan lain-lain.
Ya! Segalanya ada hikmah dan mendidik. Dua tahun saya turun naik mahkamah Kluang. Hari pertama memasuki mahkamah 14 April 2007, cukup mengerikan apatah lagi hadir tanpa wang jaminan. Ketika itu saya tidak faham bahawa seseorang yang didakwa di bawah seksyen 41 (1) AKTA PENGANGKUTAN JALAN 1987 yang jika tertuduh disabitkan dengan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak kurang RM5000 dan tidak lebih RM20,000, penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih sepuluh tahun (Act A 1065) mana-mana individu yang menghadapi pertuduhan sedemikian perlu hadir ke mahkamah dengan wang jaminan paling kurang RM5000 ( bergantung budi bicara Majistret)
Saya tahu sekiranya saya menulis secara tuntas dan sehabis jujur akan banyak pihak yang tersinggung. (Jadi saya cuba untuk tidak menyentuh banyak pihak) Sementelah kes saya ini akhirnya dibela oleh KESATUAN PERKHIDMATAN PERGURUAN KEBANGSAAN (KPPK) dalam bahasa Inggerisnya di sebut National Union Teachers Progress (NUTP). Termasuk tekanan yang diberikan kepada saya, apabila menulis satu artikel di dalam Buletin KPPK keluaran Oktober 2007. Ekoran itu satu surat cadangan kepada pihak Lembaga tatatertib telah dihantar bertujuan mencadangkan saya ditahan kerja. (Saya tidak mahu menyebut siapa yang mencadangkan saya ditahan kerja, segelintir guru di Johor dan orang-orang kuat KPPK mengetahuinya dan yang pastinya individu itu telah bersara)
